Thursday, February 1, 2024

LAPORAN LAWATAN KE SELANGOR FRUIT VALLEY (A2)


CPE2031 PENTERNAKAN LEBAH KELULUT


TUGASAN KUMPULAN:

LAPORAN LAWATAN KE SELANGOR FRUIT VALLEY


KUMPULAN KULIAH: KUMPULAN A


DISEDIAKAN UNTUK:

PROFESOR MADYA DR KAMARUL BIN ISMAIL


DISEDIAKAN OLEH:

KUMPULAN 2


NAMA AHLI KUMPULAN

NO. MATRIK

PROGRAM

NUR SYAMIMI BINTI MOHD SHUKRI

D20212098818

ISMP PENDIDIKAN KHAS

FARHAN NABILAH BINTI ABDUL AZIZ

D20212098897

ISMP PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK

MUHAMMAD ARIF ZAKIR BIN MUHAMAD TARI 

D20201093638

ISMP FIZIK

MUHAMMAD ZAKWAN BIN IDRIS

D20201094403

ISMP PENDIDIKAN ISLAM

MICHELLE MANYI ANAK CHARLES UNGEH

D20211098993 

ISMP TESL


1.0 PENGENALAN

Kelab Penternakan Lebah Kelulut Universiti Pendidikan Sultan Idris telah mengadakan satu program lawatan ke Taman Madu Kelulut My Iqra Solutions di Selangor Fruit Valley pada tarikh 20 Disember 2023. Program lawatan ini diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para pelajar tentang industri penternakan lebah kelulut yang terdapat di Malaysia. Melalui lawatan ini, para pelajar dapat melihat sendiri dan mendengar penerangan yang diberikan oleh pakar berkenaan proses-proses dalam menternak lebah kelulut ini. Antara ilmu baharu yang dipelajari ialah bagaimana pemotongan log dilakukan, contoh-contoh perangkap atau sarang lebah kelulut yang dibina dan didiami oleh koloni kelulut serta penghasilan madu kelulut yang boleh dipromosikan dan dikomersialkan. Para pelajar juga berkesempatan untuk  mencuba secara percuma madu yang telah dihasilkan dan dijual  di Taman Madu Kelulut My Iqra Solutions ini. Sebelum menyertai lawatan ini, para pelajar telah mempunyai pengetahuan sedia ada tentang lebah kelulut semasa sesi pembelajaran di dalam kelas. Jadi. melalui program ini secara tidak langsung berjaya meningkatkan minat dan juga pengetahuan para pelajar terhadap penternakan lebah kelulut ini. Para pelajar juga dapat mempelajari sejarah penternakan lebah kelulut, jenis-jenis sarang lebah kelulut, hasil jualan bulanan, cara jualan madu kelulut serta sarang kelulut yang terdapat di Taman Madu Kelulut My Iqra Solutions di Selangor Fruit Valley ini.  

2.0 SEJARAH KELULUT DI SELANGOR FRUIT VALLEY

Selain Tanah tinggi Cameron Highlands yang terkenal dengan banyak ladang agrikultur, di Selangor juga terdapat ladang agrikultur iaitu Selangor Fruit Valley. Selangor Fruit Valley (SFV) terletak di KM 7 Jalan Rawang-Bestari Jaya telah dibangunkan pada tahun 2003 dan merupakan satu kawasan yang telah dibangunkan oleh Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) iaitu sebuah subsidiari Kerajaan Negeri Selangor sejak tahun 2017. Pada tahun 2010, keluasan SFV adalah lebih kurang 1,000 hektar dan Selangor Fruit Valley telah dijadikan sebagai Agropelancongan dalam sektor pelancongan. Biarpun SFV mempunyai keluasan lebih 1000 hektar, para pengunjung tidak perlu risau kerana perkhidmatan tram disediakan dan membolehkan untuk membawa anda pusing ke seluruh kawasan Selangor Fruit Valley (SFV) ini serta melawat setiap kawasan yang ada di Selangor Fruit Valley (SFV).


Di samping itu, Selangor Fruit Valley (SFV) juga mempunyai ladang tanaman yang pelbagai jenis seperti durian, rambutan, dan manggis. Bukan itu sahaja, SFV juga mempunyai ladang ternakan bagi haiwan yang jinak seperti arnab, ayam, rusa, dan burung. Selain itu, para pengunjung diberi kesempatan untuk memetik buah-buahan yang sudah ranum dan segar. Mereka juga diberi peluang menangkap gambar bersama dengan haiwan di SFV. Sukacita dimaklumkan bahawa ladang SFV mempunyai lebih 22 jenis tanaman yang sudah dilabel dengan tanda nama dan informasi berkenaan tanaman tersebut agar mereka dapat menambah pengetahuan. Oleh itu, para pengunjung yang datang amatlah beruntung kerana terdapat banyak ladang ternakan haiwan dan kawasan tanaman yang boleh diterokai bersama keluarga.

Selangor Fruit Valley juga mempunyai kawasan penternakan lebah kelulut. yang bernama Taman Madu Kelulut yang dimiliki oleh My Iqra Solutions. Menurut para saintis dan ilmuan, lebah dikategorikan kepada dua kelompok besar iaitu lebah bersengat dan tidak bersengat serta tidak membahayakan manusia. Meskipun lebah bersengat lebih dikenali meluas, tetapi kajian ahli taksonomi menyimpulkan bahawa lebah tidak bersengat kelulut merupakan lebah yang tertua yang pernah ditemui. Terdapat beberapa jenis kelulut iaitu Geniotrigona thoracica, Heterotrigona itama, Lophotrigona Canifrons, kelulut dama atau dikenali sebagai Tetrigona binghami. Gambar di bawah menunjukkan salah satu spesis kelulut yang terdapat di SFV. Lebah kelulut ini juga boleh menghasilkan propolis iaitu campuran serbuk yang kompleks yang terdiri daripada daun, kulit pokok, getah dan debunga yang bersifat melekit. Propolis ini juga berfungsi dalam mempertahankan sarangnya daripada ancaman dan perubahan iklim. Propolis yang dihasilkan oleh lebah kelulut ini juga membantu pembentukan corong di pintu masuk lebah. 

3.0 JENIS-JENIS LEBAH KELULUT 

Menurut salah seorang penternak lebah kelulut di sini, mereka telah membangunkan dan mengusahakan perniagaan ini sehingga berjaya menternak lebah kelulut dalam kawasan melebihi 50 hektar tanah di Selangor Fruit Valley. Terdapat dua kategori lebah yang membiak di serata dunia iaitu lebah apis atau lebih dikenali sebagai lebah madu tualang dan juga lebah kelulut. Perbezaan kedua-dua kategori lebah ini ialah lebah apis jika menggigit manusia atau pemangsa, gigitan yang dilepaskan mengandungi sengat yang akan membengkakkan kawasan sengatan tersebut. Hal ini amatlah bahaya kerana sengatan berbisa itu boleh menjejaskan kesihatan. Perkara ini berbeza dengan kategori lebah kelulut kerana sengatan yang ditinggalkan oleh kelulut setelah menggigit adalah tidak berbisa. Terdapat lebih 50 jenis spesis lebah kelulut di Malaysia. Antaranya ialah Trigona mellina, Trigona atripes, Trigona terminata, Trigona itama, Trigona collina, Trigona apicalis, Trigona laeviceps, Trigona thoracica dan banyak lagi. Setiap sepsis lebah kelulut ini menghasilkan madu yang berlainan.

4.0 KEBAIKAN PENTERNAKAN LEBAH KELULUT 

Setiap madu yang dihasilkan oleh lebah membawa kebaikan kepada penggunanya. Namun, madu yang dihasilkan oleh lebah kelulut mempunyai kebaikan yang sangat baik dari segi kandungan antioksidan. Menurut pengkaji, madu yang dihasilkan oleh lebah kelulut mempunyai sebanyak lima kali ganda antioksidan berbanding madu dari lebah biasa. Dengan mengamalkan meminum madu kelulut ini, kita boleh menghindari risiko penyakit seperti kanser kerana kandungan antioksidan yang tinggi. Selain itu, madu yang dihasilkan oleh lebah kelulut juga mengandungi sejenis gula iaitu trehalulosa. Setiap jenis madu yang dihasilkan oleh lebah kelulut berbeza spesis ini mengandungi gula trehalulosa ini. Namun, kandungan bagi setiap spesis adalah berbeza. Madu kelulut yang dikaji dari Malaysia daripada spesis G. thoracica mempunyai kandungan 'trehalulosa' paling tinggi iaitu 84% daripada berat madu. Gula trehalulosa itu mempunyai kemanisan sehingga 70% daripada kemanisan gula sukrosa tetapi jika dimakan dengan jumlah yang sepatutnya, ia boleh digunakan untuk merawat penyakit di pankreas. Oleh yang demikian, kebaikan yang terdapat dalam madu kelulut ini menjadikan produk madu kelulut ini mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan masyarakat terutamanya bagi pesakit kronik seperti pesakit buah pinggang. 

5.0 KAEDAH MENDAPATKAN SUMBER MADU LEBAH KELULUT

Terdapat tiga jenis hasil tuaian yang dihasilkan oleh koloni lebah kelulut di dalam sarangnya iaitu madu, propolis dan roti lebah. Madu berasal daripada nektar yang dikumpul oleh lebah kelulut. Nektar ini boleh didapati pada bahagian bunga, tangkai daun serta beberapa jenis haiwan seperti kumbang. Di kawasan penternakan lebah kelulut seluas 50 hektar ini, terdapat beribu jenis sarang lebah kelulut dengan spesis yang berlainan. Setiap spesis kelulut menghasilkan madu yang berlainan rasa dan tekstur. Bagi mendapatkan madu dengan lebih banyak sepanjang tahun, adalah digalakkan untuk menjadikan pokok akasia sebagai sumber madu kepada lebah kelulut. Hal ini kerana di bahagian tangkai daun pokok akasia terdapat banyak nektar yang boleh dijadikan sumber madu kepada lebah kelulut. Penternak lebah kelulut boleh menuai hasil madu sebanyak lapan kali setahun sekiranya menggunakan pokok akasia berbanding tumbuhan berbunga yang hanya boleh dituai sebanyak dua kali setahun sahaja. Oleh yang demikian, jika madu kelulut ini hendak dikomersialkan dalam pasaran, maka penternak sewajarnya memperbanyakkan pokok akasia di kawasan ternakan.

6.0 HASIL JUALAN MADU LEBAH KELULUT 


Madu kelulut yang dituai oleh penternak lebah kelulut ini adalah berdasarkan jenis spesis yang berlainan berdasarkan tekstur, rasa serta khasiat yang terkandung di dalam madu. Madu kelulut ini boleh membawa manfaat yang besar kepada manusia terutamanya ia menghindari penyakit kronik jika amalan meminum madu ini diamalkan dengan kerap. Penternakan lebah kelulut ini boleh dilakukan di mana-mana sahaja kawasan kerana ianya tidak mempunyai sengat dan tidak merbahaya kepada manusia. Hasil madu kelulut akan dituai setiap satu kali sepanjang 45 hari jika diternak dalam kawasan yang besar seperti di Selangor Fruit Valley ini. Harga pasaran bagi madu lebah kelulut yang dihasilkan adalah sebanyak RM35 hingga RM180 mengikut spesis kelulut yang menghasilkan madu tersebut. Jumlah jualan keseluruhan bagi setiap bulan boleh mencecah antara RM5000 hingga RM8000 sekiranya dituai dan dijual di pasaran secara konsisten dan mempunyai permintaan yang tinggi. 

7.0 PENUTUP

Kesimpulannya, melalui penglibatan dalam lawatan ini, kami telah banyak mempelajari ilmu baharu berkaitan penternakan lebah kelulut. Penternakan lebah kelulut ini boleh dihasilkan semudah di kawasan perumahan kita sendiri. Ianya tidak merbahaya kepada masyarakat kerana tidak mempunyai sengatan yang membengkak dan menyakitkan. Para pengunjung berpeluang untuk belajar mengenai ekeologi lebah kelulut dan juga kepentingannya kepada alam sekitar dan masyarakat. Lawatan ini juga boleh menjadi satu tarikan kepada anak muda untuk mulai menceburi bidang penternakan lebah kelulut. Pihak kerajaan sewajarnya membantu golongan belia yang berminat untuk menternak lebah kelulut ini dengan memberikan bantuan kewangan atau bantuan dari segi penyediaan kelas penternakan agar dapat mengembangkan lagi bidang penternakan lebah kelulut ini sehingga berjaya mengkomersialkan hasil tuaian ke peringkat dunia. Bidang penternakan lebah kelulut ini boleh diceburi oleh pelbagai golongan masyarakat seperti golongan belia dan wanita. Melalui lawatan yang dianjurkan oleh kelab penternakan lebah kelulut ini, ia dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan menjaga dan melestarikan spesis lebah kelulut ini supaya tidak pupus. Lawatan ini juga adalah satu pengalaman yang mendidik para pelajar tentang realiti bidang penternakan lebah kelulut di Malaysia.

8.0 LAMPIRAN

Gambar 1 : Gerbang utama di SFV

Gambar 2 : Keluar masuk lebah kelulut

Gambar 3 : Sarang lebah kelulut di SFV.

Gambar 4: Jenis-jenis madu kelulut yang dihasilkan dan dijual di SFV.


Gambar 5: Madu kelulut daripada spesis Trigona Itama.


Gambar 6: Madu daripada spesis Apis Mellifera


No comments:

Post a Comment

LAPORAN LAWATAN KE SELANGOR FRUIT VALLEY (A2)

CPE2031 PENTERNAKAN LEBAH KELULUT TUGASAN KUMPULAN: LAPORAN LAWATAN KE SELANGOR FRUIT VALLEY KUMPULAN KULIAH: KUMPULAN A DISEDIAKAN UNTUK: P...